Metadata
Metadata adalah 'data mengenai data'. Ia adalah maklumat yang menerangkan mengenai data/ maklumat/ perkhidmatan sesuatu produk. Ia merangkumi kesemua persoalan seperti siapa, apa, bila, dimana, kenapa dan bagaimana mengenai produk tersebut.Metadata boleh diibaratkan sebagai penyampai maklumat mengenai barang. Perumpamaan 'metadata' adalah seperti label/iklan pada sesuatu produk. Oleh itu, kita tidak akan mengetahui tentang sesuatu produk jika tiada metadata. Setiap persoalan akan terjawab jika metadatanya adalah lengkap.
Dalam konteks maklumat geospatial, metadata amatlah penting dalam memberi maklumat dan kemudahan kepada pengguna menilai maklumat/data geospatial berkenaan. Ia membolehkan pengguna data berkenaan faham mengenai keupayaan dan batasan, serta menilai keupayaan sesuatu dataset bagi kegunaan yang dikehendaki oleh mereka.
Rajah 1 : Komponen MyGDI
Metadata merupakan komponen utama dalam pembangunan Spatial Data Infrasturcture (SDI). Metadata ini lebih dikenali sebagai Metadata Geospatial, yang mana ia menerangkan maklumat geospatial yang hendak dikongsi. Ia tidak terhad kepada data sahaja, malah ia meliputi penerangan mengenai aplikasi GIS, laporan kajian, pembangunan maklumat geospatial dan perkhidmatan.
Tujuan metadata geospatial, adalah memberi maklumat mengenai maklumat geospatial yang dihasilkan bagi pengguna menilai maklumat berkenaan. Faedah penerbitan metadata ini adalah satu kaedah mempromosikan ketersediaan maklumat geospatial.Dengan metadata yang lengkap, kita mampu mengetahui sesuatu maklumat geospatial dengan terperinci seperti sumber asal sesuatu maklumat geospatial serta susur galur perubahan ke atas data tersebut. Ia distrukturkan untuk memperihalkan kandungan, sumber, keadaan, kualiti dan lain-lain sifat data yang ingin diperolehi.
Tujuan penerbitan metadata adalah :
Memberi maklumat geospatial yang terdapat di agensi kerajaan dan swasta;
Mengelak duplikasi penyediaan data atau perkhidmatan daripada pelbagai agensi;
Memudahkan pengguna mengenalpasti maklumat geospatial yang diperlukan; dan
Menyediakan perlindungan undang-undang sekiranya berlaku penyalahgunaan maklumat geospatial
Pemilihan elemen katalog metadata berasaskan dokumen ISO 19115-1 : 2014 Geographic Information – Metadata - Part 1 - Fundamentals. Dokumen ini boleh diperolehi atau beli terus melalui SIRIM Berhad.
Elemen yang terdapat di dalam katalog metadata terdiri daripada :
Maklumat pembekal data
Tajuk
Abstrak
Kawasan litupan
Sistem rujukan koordinat
Kaedah mendapatkan data
Data Kualiti dan lain-lain
Rajah 2: MS ISO 19115: 2003
Melalui pelaksanaan MyGDI, kepentingan metadata telah dikenal pasti. Template Malaysian Metadata Standard (MMS) dibangunkan dan diguna pakai bagi memudahkan pembekal data merekod maklumat geospatial mereka. Ia juga bagi memudahkan pengguna memperolehi maklumat geospatial yang dikehendaki. Senarai atau katalog metadata adalah terkandung dalam MyGDI Explorer.
Rajah 3: Paparan Template Metadata (MMS) melalui MyGDI Explorer
Anda boleh mengetahu lebih lanjut mengenai :
Standardisasi Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah – Unique Parcel Identifier (UPI);
Malaysian Metadata Standard (MMS);
Standardisasi Nama Geografi dalam Pangkalan Nama Geografi & Gazetir Kebangsaan (PDNG).
sumber : http://www.mygeoportal.gov.my/ms/metadata