Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal KPIPGNP Bilangan 2/2025
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kajian Bilangan 2/2025 telah diadakan pada 20 Ogos 2025 (Rabu) bertempat di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Puan Haslinda Binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan UPEN merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kajian.
Mesyuarat ini bertujuan untuk menyemak dan memberikan ulasan terhadap Laporan Interim yang disediakan oleh Uni-Technologies Sdn. Bhd, selaku perunding yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi menjalankan Kajian Pelan Induk Pembangunan Geospatial Negeri Perak 2030. Kajian ini kini berada di fasa pertengahan pelaksanaan bagi penyediaan Laporan Interim yang merangkumi penemuan awal, isu-isu utama serta cadangan hala tuju strategik sebagai asas perancangan pembangunan geospatial Negeri Perak secara menyeluruh dan bersepadu.
Melalui sesi pembentangan dan perbincangan yang diadakan, adalah diharapkan agar mesyuarat ini dapat menghasilkan input serta maklum balas yang konstruktif dalam memperkukuhkan perancangan pembangunan geospatial negeri, sekaligus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri ke arah pembangunan yang lebih mampan, teratur dan berdaya saing.