Perak Health GeoInnovation 2026
Program Perak Health GeoInnovation 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 10 hingga 11 November 2026 bertempat di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Program ini dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menerusi PerakGIS dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN). Program yang bertemakan “Geospatial Intelligence for Smarter Healthcare Planning and Delivery” ini bertujuan meneroka potensi aplikasi kecerdasan geospatial dalam memperkukuh perancangan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, strategik dan berasaskan data.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian bertajuk “Geospatial Intelligence dalam Sektor Kesihatan” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Gs. Mohamad Fadli bin Kharie, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Sesi ini mengetengahkan peranan teknologi geospatial dalam menyokong analisis, perancangan serta pengurusan maklumat kesihatan secara lebih sistematik.
Program turut menampilkan forum bertajuk “Brought In Dead (BID): Mapping Risk, Saving Lives” yang membincangkan kepentingan pendekatan geospatial dalam mengenal pasti corak dan faktor risiko kejadian kematian sebelum tiba di hospital (Brought In Dead). Forum ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Jahlelawati binti Zul, Ketua Unit Pra-Hospital, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Slim River selaku moderator.
Perbincangan forum turut menampilkan tiga panel jemputan, iaitu YBhg. Dato’ TP Gs. Mohamed Zamri bin Mohd Zain, Pengarah PLANMalaysia Perak; YBrs. Supt. Gs. Dr. Hasranizam bin Hashim dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman; serta YBrs. Dr. Fakhruddin bin Amran. Perkongsian kepakaran merentas agensi ini memberi perspektif menyeluruh mengenai kepentingan pemetaan risiko geospatial dalam memahami faktor penyumbang kepada kejadian BID, di samping mengenal pasti peluang penambahbaikan terhadap pengurusan dan tindak balas kecemasan.
Selain sesi perkongsian dan forum, program ini turut menyediakan Health GIS Clinic sebagai platform praktikal untuk mengenal pasti isu spatial sebenar dalam sektor kesihatan. Pengisian program diteruskan dengan pameran serta sesi penyediaan pelan tindakan bagi membincangkan hasil perbincangan, perkongsian idea dan cadangan penambahbaikan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Perak Health GeoInnovation 2026 merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara sektor kesihatan dan agensi teknikal. Usaha ini diharap dapat memperluas penggunaan kecerdasan geospatial sebagai instrumen sokongan dalam membuat keputusan, mengenal pasti keperluan setempat serta merangka perancangan kesihatan yang lebih bersasar, cekap dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.