Skip to main content

Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025

Kerajaan Negeri Perak melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (PerakGIS) telah menganjurkan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 pada 3 Disember 2025 bertempat di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Program ini yang membawa slogan iaitu “GIS Nadi Transformasi Sosioekonomi Berdaya Tahan” menghimpunkan pakar industri, akademia, agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan bagi memperkukuh peranan teknologi geospatial dalam perancangan dan pembangunan negeri.

Sesi yang pertama adalah forum yang bertajuk “Masa Depan Perkhidmatan Utiliti: Ke Arah Komuniti Sejahtera Melalui Pendekatan Geospatial” dikendalikan oleh Moderator Prof. Madya Ts Sr Dr Mohd Faisal Bin Abdul Khanan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Panel jemputan terdiri daripada empat orang panel iaitu Gs. Ahmad Farhan Bin Aziz (Pengurusan Air Selangor), Encik Mohd Zubaidi Bin Daud (Indah Water Konsortium), Puan Intan Sajidah Binti Abd Aziz (Gas Malaysia Distribution) dan Sr. Gs. Nik Mohd Fadhil Bin Nik Mohd Kamil (Tenaga Nasional Berhad). Perbincangan dalam forum ini menekankan bagaimana GIS meningkatkan kecekapan pengurusan utiliti melalui pemetaan aset digital, pemantauan rangkaian masa nyata serta strategi penyelenggaraan berasaskan ramalan bagi memperkukuh operasi dan keselamatan infrastruktur.

Seterusnya, sesi oleh Esri Malaysia tutur menampilkan perkongsian komprehensif mengenai perkembangan terkini dalam ekosistem geospatial, termasuk inovasi platform ArcGIS, peningkatan keupayaan analitik lokasi, serta penyelesaian baharu yang menyokong integrasi data merentas agensi. Perbincangan ini memberikan gambaran menyeluruh tentang hala tuju teknologi geospatial semasa dan aplikasi praktikalnya dalam meningkatkan kecekapan operasi, pengurusan data spatial, serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih responsif dan berasaskan bukti.

Sesi yang kedua bertajuk “Pemetaan untuk Kehidupan: Peranan GIS dalam Kesihatan Awam” disampaikan oleh Dr. Gs. Mohamad Fadli Bin Kharie, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Kementerian Kesihatan Malaysia. Sesi ini mengupas peranan GIS dalam pemetaan wabak, analisis risiko, pengurusan fasiliti kesihatan serta tindak balas kecemasan. GIS digariskan sebagai alat strategik yang menyokong sistem kesihatan awam berasaskan data, lebih responsif dan berkeupayaan.

Sesi yang seterusnya adalah ucapan aluan oleh Puan Halizah Binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri. Sesi yang ketiga adalah forum yang bertemakan “Kuasa GIS dalam Kesejahteraan Sosial” dipengerusikan oleh Moderator Ts. Gs. Dr Ernieza Suhana Binti Mokhtar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Panel jemputan terdiri daripada empat orang panel iaitu TPr Shahrul Niza Bin Samsudin (JPBD Semenanjung Malaysia), LSr Jamil Faisal Bin Yusoff (JUPEM), TPr Muhamad Helmy Bin Abdul Hadi (Majlis Perbandaran Manjung) dan Supt. Gs. Dr Hasranzian Bin Hashim (PDRM Bukit Aman). Sesi ini menyoroti penggunaan GIS dalam perancangan bandar, pemetaan keselamatan, pengurusan pembangunan dan pencegahan jenayah bagi mewujudkan komuniti yang lebih inklusif, tersusun dan selamat.

Ucaptama bertajuk “Membina Daya Tahan Komuniti di Negeri Perak dalam Era Perubahan Iklim dan Ketidakstabilan Ekonomi Global Menerusi Pendekatan Geospatial” oleh YBrs. Prof. Dr. Azmi Bin Hassan menekankan kepentingan teknologi geospatial dalam memperkukuh daya tahan komuniti menghadapi cabaran perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi, dan risiko bencana. Perbincangan merangkumi pemetaan kerentanan komuniti, analitik risiko bencana, pengurusan sumber kritikal serta penggunaan platform geospatial bagi menyokong pembuatan keputusan dasar yang lebih berkesan dan berasaskan data.

Majlis diakhiri dengan Ucapan Perasmian Penutup oleh YAB Dato' Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan serta peluncuran aplikasi Dashboard Hartanah@Perak, sebuah aplikasi yang dibangunkan melalui kerjasama antara PerakGIS dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP). Ia merupakan sebuah inisiatif geospatial yang mengintegrasikan data hartanah negeri secara lebih telus dan bersepadu. Program diteruskan lagi dengan sesi bergambar, lawatan reruai pameran, sidang media dan minum petang bersama para peserta.